Jabatan Makmal, Praktikum dan Latihan (LPT) bertanggungjawab memantau semua aktiviti yang berkaitan dengan Makmal Simulasi, ko-kurikulum, latihan dalam dan luar serta proses praktikum untuk semua pelajar tahun akhir. Bersama-sama dengan Jabatan lain seperti HEA, LPT bergiat aktif menyokong pembinaan perwatakan dan kemahiran seorang guru terlatih. 3 tanggungjawab utama ialah:

Makmal Simulasi

Makmal Simulasi KPAKK menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyamai ruangan di dalam sebuah TADIKA atau TASKA atau Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang sebenar. Secara umumnya, Makmal Simulasi menyediakan peluang untuk membangunkan kemahiran pengajaran berbekalkan pengetahuan teori yang telah diterapkan di dalam kuliah. Antara kemahiran yang ditekankan ialah:

  • Konsep pedagogi.
  • Pengurusan bilik darjah.
  • Penggunaan kaedah pengajaran yang berbeza.
  • Penguasaan penyediaan rancangan pengajaran.
  • Penggunaan bahan pengajaran-pembelajaran yang berbeza.
  • Menerokai pengalaman sebagai seorang guru secara “hands on”.

Praktikum

Latihan praktikum dibina berdasarkan idea bahawa pelajar bersedia dengan pengetahuan sebelum mereka berada di dunia sebenar, di mana kemahiran, pengetahuan dan prestasi menentukan kemahiran mereka untuk berperanan sebagai seorang guru.
Latihan praktikum adalah gerbang pengalaman pertama, menyediakan guru pelatih KPAKK peluang untuk memerhati, belajar dan mengaplikasikan pengetahuan mereka dan seterusnya memupuk pelajar untuk menggunakan pengetahuan yang ada dalam setiap tindakan mereka.

Sesi praktikum akan dijalankan selama 2 bulan, sebulan di Tadika dan sebulan lagi di Taska bagi memberikan pengetahuan dan kemahiran berguna kepada semua guru pelatih KPAKK.

Pusat Praktikum adalah kunci kepada kejayaan pusat penempatan praktikum. Jabatan LPT akan memastikan pusat yang dipilih berdaftar, berkebolehan dan diuruskan oleh pengurus atau pemilik yang berkelayakan. Kepada pengurus atau pemilik yang berminat untuk menjadi Pusat Praktikum kepada guru pelatih kami, anda boleh menghubungi Jabatan LPT untuk perbincangan lanjut.

Latihan

Jabatan LPT secara aktif membangunkan dan menjalankan pelbagai jenis sesi latihan atau aktiviti berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak bagi memenuhi kehendak guru-guru pelatih, pendidik serta peserta dari agensi-agensi kerajaan.
Antara sesi latihan yang pernah dijalankan ialah:

  • Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak.
  • Kursus Kewangan dan Penyelenggaraan Taska/Tadika.
  • Kursus Pemakanan dan Nutrisi Kanak-Kanak.
  • Kursus Teknik Mengasuh dan Menggalak dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
  • Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak.